Tuesday, April 29, 2014

FAKTOR YANG MEMPENGARUHI PERKEMBANGAN KANAK-KANAK


Mengikut kajian ahli psikologi, perkembangan kanak-kanak dipecahkan kepada lima aspek iaitu aspek jasmani, kognitif, emosi, sosial dan rohani. Kelima-lima aspek ini pula adalah berasaskan kepada dua faktor yang utama iaitu dipengaruhi oleh faktor baka dan faktor persekitaran. Ahli psikologi juga telah berpendapat bahawa tiada individu di dunia ini yang mempunya kadar perkembangan yang sama dan menjadikan faktor baka(nature) dan faktor persekitaran(nurture) sebagai penyebab utama ketidaksamaan kadar perkembangan seseorang individu.

Pengaruh genetik atau baka keatas pertumbuhan dan perkembangan manusia ini sebenarnya dipelopori oleh Johann Gregor Mendel(1822-1889) di Austri. Menurut Haliza Hamzah, Joy N. Samuel dan Rafidah Kastawi (2008) dalam buku ‘Perkembangan Kanak-kanak untuk Program Perguruan Pendidikan Rendah Pengajian Empat Tahun”, baka merujuk kepada ciri-ciri biologi, atau gen-gen yang diperturunkan melalui ibu bapa kepada anak- anak mereka seperti yang dikatakan oleh R. Hilgard. Amran Schienfed mengatakan bahawa baka menentukan persamaan antara ibu bapa dengan anak-anaknya, di kalangan ahli dalam satu kumpulan keluarga dari segi sifat-sifat seperti kebolehan , minat dan kawalan emosi.

Gen-gen yang terkandung di dalam kromosom ini menguasai perkembangan manusia dan akan memberikan sifat unik bagi setiap individu. Baka ini boleh menguasai penyuburan fizikal dan mental. Baka juga menetapkan had keupayaan, kemampuan mental kita sama ada pandai atau tidak pandai. Oleh sebab itu, menurut hasil kajian ahli-ahli psikologi Galton (1865), Goddard (1890), Newman (1937) dan Shieldo (1962) setiap individu mempunyai kecerdasan dan kebolehan intelek yang berbeza.

Kajian ahli-ahli psikologi telah membuktikan bahawa tidak ada dua orang individu mempunyai kadar perkembangan yang sama. Mereka berpendapat baka dan persekitaran adalah faktor-faktor yang menyebabkan perbezaan kadar perkembangan manusia.

Pengaruh genetik atau faktor baka kini dikenali sebagai gen yang terdiri daripada nukleoprotein yang menentukan baka atau ciri keturunan. Ia terletak di lokus tertentu pada kromosom, iaitu sejenis benda seni berbentuk panjang yang didapati dalam nukleus sel sperma (jantan) dan juga sel ovum (betina). Mengikut kajian, kromosom mengandungi bahan DNA dan RNA dan masing-masing membawa gen-gen yang mengandungi sifat-sifat baka.Individu yang normal biasanya mempunyai 23 pasangan kromosom. Semasa proses persenyawaan, iaitu percantuman sel sperma (gamet jantan) dengan sel ovum (gamet betina) dengan membentuk zigot yang mula mendapat 23 kromosom daripada ibu bapa masing-masing. Seterusnya, proses pertukaran di antara kromosom daripada ibu dan bapanya berlaku dan menjadi ciri-ciri baka tersendiri, kemudian diwarisi oleh bayi yang akan dilahirkan nanti.

Perbezaan kecerdasan di antara individu boleh diperhatikan daripada prestasi pelajar dalam sesuatu kelas.Kajian ahli-ahli psikologi sering mengaitkan perbezaan kecerdasan individu dengan kecerdasan ibu bapa mereka. Biasanya, ibu bapa yang bijak pandai akan melahirkan anak-anak yang juga bijak pandai. Emosi seseorang juga diwarisi daripada baka ibu bapa. Misalnya, ibu bapa yang mempunyai emosi yang kurang stabil dan bersifat pemarah akan melahirkan anak yang agresif dan autokratik. Latar belakang keluarga yang porak peranda akibat perceraian, kematian, perpisahan akan memberi kesan buruk kepada emosi kanak-kanak seterusnya kepada perkembangan personaliti mereka.

Faktor baka juga mempengaruhi sahsiah individu secara langsung. Sebagai contoh, individu yang mempunyai saiz badan yang agak besar akan berasa malu untuk bersosial dengan orang lain kerana banyak aktiviti yang boleh dilakukannya adalah terbatas. Saiz badan akan menentukan sama ada individu sesuai melakukan suatu aktiviti ataupun tidak. Kebolehan melakukan suatu aktiviti akan meningkatkan nilai prestij yang tinggi untuk dirinya. Hal ini menyebabkan individu tersebut akan diminati oleh rakan-rakannya dan seterusnya meningkatkan harga dirinya sekaligus akan membentuk sahsiah sihat.

Contoh seterusnya ialah individu yang berasal daripada keturunan yang berpenyakit. Individu tersebut besar kemungkinan akan mewarisi penyakit, seperti lelah dan kencing manis melalui baka. Jadi, kanak-kanak tersebut sukar menyertai aktiviti sosial dan menyebabkan perkembangan sosialnya terganggu.Justeru, hubungan kanak-kanak tersebut dengan rakan-rakan menjadi berkurangan. Kemudian, dia akan merasa sedih dan sunyi. Impaknya, proses perkembangan sahsiahnya menjadi tidak sihat kerana perkembangan sosial dan emosi terjejas.

Faktor kedua yang mempengaruhi perkembangan kanak-kanak ialah persekitaran. Faktor ini merujuk kepada keadaan semasa proses perkembangan kanak-kanak. Ini termasuklah pengalaman sebelum dan selepas lahir. Pengalaman sebelum lahir merangkumi pemakanan dan kesihatan ibu, gaya hidup ibu, rawatan yang diterima ibu, usia dan keadaan emosi ibu. Faktor-faktor selepas kelahiran pula adalah dipengaruhi oleh cara pemakanan, sosio ekonomi, tahap pendidikan keluarga, rakan-rakan, sekolah, masyarakat, tempat ibadat, media dan persekitaran dunia. Semua perkara ini akan mempengaruhi perkembangan seseorang manusia.

Mengikut penulis Haliza Hamzah, Joy N. Samuel dan Rafidah Kastawi, dalam buku ‘Perkembangan Kanak-kanak untuk Program Perguruan Pendidikan Rendah Pengajian Empat Tahun”, apabila kesihatan bayi selepas lahir dijaga, ini akan mempercepatkan pertumbuhan gigi susu pada gusi bawah ketika bayi berumur antara enam hingga lapan bulan.

Seterusnya, khasiat yang diberikan seperti susu ibu amat baik dalam mempengaruhi perkembangan fizikal dan mental bayi tersebut. Pada tahap ini, perkembangan motor yang merangkumi kemahiran- kemahiran kordinasi otot telah mula meningkat. Antara kemahiran motor yang disebut ialah memegang, menyedut, menghisap, duduk, merangkak, berjalan, berlari dan sebagainya.

Selain itu, keluarga, rakan sebaya, status sosio-ekonomi, kebudayaan dan kepercayaan masyarakat, sumber teknologi, guru dan sekolah turut menjadi faktor perkembangan kanak- kanak. Perbezaaan gaya hidup sesebuah institusi keluarga seperti suasana rumah, makanan, asuhan dan status sosio-ekonomi keluarga akan melahirkan individu yang mengikut perbezaan kadar perkembangannya.

Keluarga yang mempunyai status sosio-ekonomi yang baik akan membantu perkembangan intelek dan fizikal kanak-kanak ke tahap optimum kerana keluarga ini berupaya memberi makanan yang berzat dan seimbang serta kemudahan pendidikan yang sempurna kepadaanak-anak.

Ibu bapa perlu memastikan keperluan kasih sayang anak- anak dipenuhi dengan baik. Gaya hidup yang sihat yang diamalkan oleh setiap ahli keluarga seperti sentiasa menjaga kesihatan, bersenam, tidak merokok akan membentuk sebuah keluarga yang proaktif dan sempurna.

Selain itu, faktor pemakanan juga turut mempengaruhi perkembangan kanak-kanak.Perkembangan ini meliputi fizikal, mental dan kerohanian kanak- kanak.Pemakanan yang diambil kanak- kanak haruslah berzat, bersih dan seimbang.Makanan yang boleh menjejaskan kesihatan mental, emosi dan fizikal perlu dijauhi supaya tidak membantutkan perkembangan mereka.Oleh itu, ibu bapa perlu mendidik anak supaya kenal makanan yang baik dan mengamalkan kesederhanaan ketika makan dan minum. Penyusuan susu ibu adalah lebih baik kerana susu ibu bebas dari jangkitan. Ketika sudah mencecah umur 4 tahun, kanak-kanak haruslah disajikan dengan makanan yang mempunyai banyak kandungan tenaga kerana pada masa ini kanak-kanak adalah sangat aktif.

Teori Ekologi Bronfenbrenner (1979,1989), menjelaskan bahawa perkembangan kanak-kanak merangkumi lima jenis sistem ekologi iaitu mikrosistem, mesosistem, ekosistem, makrosistem, dan kronosistem. Menurut Bronfenbrenner, kelima-lima sistem ekologi ini adalah mempengaruhi perkembangan kanak-kanak.

Mikrosistem merujuk kepada persekitaran terdekat dimana kanak-kanak lebih banyak menghabiskan masa dan interaksi secara langsung di dalam persekitaran itu.Sebagai contoh hubungan interaksi secara langsung antara kanak-kanak dengan ibu bapa, guru dan rakan-rakan.Orang-orang dalam mikrosistem ini memainkan peranan yang tidak kurang penting di dalam perkembangan kanak-kanak.

Mesosistem pula merujuk kepada kaitan antara perhubungan dengan 2 mikrosistem. Hal ini bermaksud satu mikrosistem boleh mempengaruhi interaksi dengan mikrosistem yang lain. Misalnya keadaan yang berlaku di rumah boleh mempengaruhi sikap atau tingkah-laku di sekolah dan sebaliknya.Mengikut Bronfenbenner juga, kanak-kanak yang diberikan galakan untuk berinteraksi dan berkomunikasi dalam mesosistem ini menunjukkan prestasi yang lebih baik daripada kanak-kanak yang kekurangan peluang.

Ekosistem merupakan pengalaman dengan persekitaran yang tidak melibatkan kanak-kanak secara langsung tetapi keputusan yang diambil dalam persekitaran tersebut memberi kesan kepada kanak-kanak tersebut.Misalnya sekolah dengan pasar raya.Kaedah pengurusan, kemudahan dan peraturan-peraturan yang dikuatkuasa oleh tempat membeli belah secara tidak langsung mempengaruhi perkembangan sosial kanak-kanak tersebut.

Makrosistem pula adalah perkembangan individu yang melibatkan norma-norma, nilai dan amalan masyarakat itu sendiri. Misalnya dalam sesetengah masyarakat, peranan jantina dititikberatkan (Santrock,2008). Di sesetengah negara, kaum lelaki diberi peranan yang lebih dominan dimana mereka diberi peluang pelajaran dan pekerjaan-pekerjaan yang penting.

Kronosistem pula melibatkan perubahan perkembangan dalam suatu tempoh masa.Sebagai contoh situasi kanak-kanak hari ini lebih berfokus kepada permainan-permainan komputer jika dibanding dengan kanak-kanak pada zaman dahulu kala yang lebih gemar bermain di persekitaran rumah.

Secara keseluruhannya, kelima-lima aspek ini adalah saling berinteraksi antara satu sama lain. Setiap unsur-unsur ini mempengaruhi perkembangan individu, maka setiap individu memang tidak dapat dinafikan mempunyai tahap perkembangan yang berbeza-beza.

Psikologi Perkembangan: KONSEP PERKEMBANGAN KANAK-KANAK


Perkembangan secara umumnya dapat didefinisikan sebagai aspek perubahan yang dihadapi oleh individu yang berubah menurut peredaran masa. Namun, pelbagai pendapat telah dikemukakan mengenai konsep dan definisi perkembangan itu sendiri, salah satunya ialah daripada Haliza Hamzah dan Joy N. Samuel dalam buku Perkembangan Kanak-kanak, yang mengatakan perkembangan adalah perubahan kualitatif yang tidak dapat diukur secara kuantitatif tetapi dapat dilihat dari sifat baru yang berlainan dari sifat yang lebih awal. Berbanding Santoock ( 2008 ), baginya perkembangan dapat ditafsirkan sebagai perubahan dalam corak biologi, kognitif dan sosioekonomi individu yang bermula dari peringkat percambahan sehingga ke akhir hayat. Kesimpulnya, perkembangan dapat diklasifikasikan sebagai suatu perubahan yang bersifat kualitatif, tersusun, bertahap dan berterusan pada diri manusia bermula semenjak percambahan sel sehingga ke akhir hayat organisma hasil dari kombinasi pembelajaran, pengalaman dan kematangan melibatkan aspek-aspek fizikal, emosi, mental dan sosial.
Terdapat banyak aspek yang memungkinkan perkembangan kanak-kanak itu berlaku, salah satunya ialah sifat perkembangan itu sendiri yang bersifat kualitatif dan perubahan-perubahan yang berlaku adalah dari segi fizikal, kognitif, sosial, emosi dan moral. Perubahan-perubahan itu adalah stabil dan berlaku secara teratur dan progresif dalam arah tertentu. Sebagai contohnya, seseorang kanak-kanak akan mula mengenal objek, memberi nama kepada objek, mengenal huruf, mengaitkan huruf dengan objek, mengenal perkataan dan mengaitkannya dengan objek. Justeru, perubahan-perubahan yang berlaku adalah berterusan sepanjang hayat dan melalui peringkat-peringkat kematangan tertentu. Kematangan pula merujuk kepada perubahan semulajadi dan ditentukan oleh genetik. Ia biasanya dipengaruhi oleh baka dan persekitaran. Oleh itu, perkembangan adalah hasil daripada kematangan dan pembelajaran.
Secara terperincinya, aspek perkembangan kanak-kanak terbahagi kepada empat bahagian, iaitu fizikal, kognitif, emosi dan sosial. Merujuk kepada Haliza Hamzah dan Joy N. Samuel dalam buku Perkembangan Kanak-kanak, perkembangan fizikal adalah proses perkembangan kemahiran psikomotor dalam diri individu. Kemahiran tersebut biasanya memerlukan penggunaan anggota badan, misalnya seorang kanak-kanak yang bermula dengan kemahiran mengenal huruf, menulis dan kemudian membaca. Berbeza dengan pendapat di dalam carian laman web http://www.scribd.com, perkembangan fizikal dapat ditakrifkan sebagai perubahan saiz fizikal, kadar pertumbuhan bahagian-bahagian badan, fungsi anggota-anggota badan dan perawakan manusia. Selain itu, hasil carian di dalam lawan webhttp://www.mycreche.com.my/services.htm pula mentakrifkan perkembangan fizikal sebagai perubahan dari segi bentuk, saiz, kebolehan mengawal pergerakan motor kasar dan motor halus serta koordinasi anggota badan. Secara huraiannya, pembentukan manusia adalah hasil daripada satu sel persenyawaan benih ibu dan bapa yang akan membesar menjadi janin dalam kandungan ibu selama sembilan bulan sebelum dilahirkan. Kemudiannya, bayi itu akan berubah secara beransur-ansur manjadi seorang kanak-kanak yang membesar. Maka, proses perubahan yang dilalui bayi itulah dipanggil proses pertumbuhan dan perkembangan.
Berbeza dengan aspek perkembangan fizikal sambil merujuk sumber buku yang sama, perkembangan kognitif mengupas isu kemahiran yang merangkumi kemahiran membaca, menulis, mengira, berfikir secara kreatif dan kritis. Bagi Siti Hawa Munji dan Ma’rof Redzuan dalam buku mereka, Pengantar Psikologi pula, perkembangan kognitif dikatakan sebagai perkembangan fikiran dan intelek manusia. Selain itu, perkembangan kognitif kanak-kanak dalam dalam carian laman web http://www.anakku.my/artikel menyifatkan perkembangan kognitif sebagai proses peningkatan keupayaan pemikiran, pengetahuan dan intelektual kanak-kanak. Dalam kata lainnya, proses ini melihat kepada kemampuan kanak-kanak dalam menjana akal budi dalam pelbagai aktiviti penyelesaian masalah disamping memahami dan menganalisa masalah tersebut. Secara amnya, bidang ini mementingkan siasatan ke atas bagaimana seseorang kanak-kanak dapat berkembang dari satu usia ke usia mental yang lebih tinggi. Dalam usia tersebut, kanak-kanak biasanya mula membentuk pengetahuan serta pemahaman baru terhadap pengalaman yang dilaluinya. Justeru, perkembangan kognitif ini merupakan salah satu daripada proses tumbesaran yang dilalui oleh setiap kanak-kanak.
Aspek perkembangan emosi menurut Haliza Hamzah dan Joy N. Samuel dalam buku Perkembangan Kanak-kanak membincangkan aspek kemahiran mengurus dan mengawal emosi. Menurut hasil carian laman web http://www.mycreche.com.my/services.htm pula, perkembangan emosi kanak-kanak disifatkan sebagai keupayaan kanak-kanak bergaul , berinteraksi dan meluahkan perasaan mereka. Bagi hasil carian dalam laman webhttp://permatahati.wordpress.com, perkembangan emosi lebih dikaitkan dengan perasaan iaitu suatu aspek penting dalam dalam kehidupan seseorang termasuk negatif atau positif kerana ia membantu kanak-kanak membina idea baru, matlamat dan perancangan. Tambah pensyarah Psikologi Perkembangan dan Pendidikan Awal Kanak-kanak Institut Pendidikan Universiti Antarabangsa Malaysia, Dr. Mastura Badriz, berkata ilustrasi emosi yang terlihat dalam kehidupan harian kanak-kanak berfungsi sebagai satu cara bagi komunikasi untuk memberitahu dan menyatakan keperluan mereka. Justeru, perkembangan emosi merupakan salah satu aspek dalam perkembangan kanak-kanak.
Aspek perkembangan sosial pula menurut sumber buku yang sama, membincangkan kemahiran menjalin perhubungan sosial dan menunjukkan perlakuan baik dan sesuai mengikut norma-norma masyarakat. Hasil dapatan maklumat melalui laman web http://www.geocities.compula berpendapat perkembangan sosial sebagai satu proses apabila kanak-kanak belajar berhubung dengan orang lain mengikut cara yang diterima oleh masyarakat dan budayanya. Proses ini meliputi cara berfikir tentang kendiri, orang lain dan perhubungan sosial. Pendapat ini turut disokong oleh Ainee binti Hajah Ahmad , pelajar Pra-syarat bagi mata pelajaran Psikologi Perkembangan dalam laman webnya, http://aineehjahmad.blogspot.com. Hal ini disebabkan perkembangan ini melibatkan proses sosialisasi yang membolehkan kanak-kanak mempelajari tingkah laku sosial atau melakukan penyesuaian sosial mereka.

TEORI-TEORI PERTUMBUHAN DAN PERKEMBANGAN KANAK-KANAK


TEORI PERKEMBANGAN KOGNITIF JEAN PIAGET


Jean Piaget dilahirkan di NauchatelSwitzerland pada 9 Ogos 1896. Jean merupakan anak pertama yang suka berdikari dan berminat tentang ilmu alam. Beliau memulakan kariernya sebagai penulis pada usia yang teramat muda iaitu 10 tahun.Selepas tamat sekolah menengah, Jean melanjutkan pelajaran ke Universiti Nauchatel. Beliau mendapat PhD semasa berumur 22 tahun. Jean mula meminati Psikologi apabila beliau terpilih menjadi pengarah makmal Psikologi di Universiti Geneva. Tidak lama kemudian, beliau dilantik sebagai ketua "Swiss Society for Psychologist."Dalam bidang Psikologi, Jean merupakan salah satu tokoh yang amat penting di abad ke dua puluh. Latar belakang beliau ini memberikan banyak sumbangan kepada bidang psikologi.

Pada pandangan Jean Piaget, pola-pola perlakuan ini boleh memberikan petunjuk bagi pengetahuan bagaimana proses pembentukan pemikiran berkembang di kalangan kanak-kanak. Ekoran daripada itu, teori yang beliau kemukakan ialah memfokuskan kepada perkembangan kognitif kanak-kanak  Piaget telah mengemukakan satu teori untuk menghuraikan bagaimana proses pemikiran berkembang dari masa kecil sehingga ke dewasa.
Teori perkembangan kognitif Jean Piaget adalah salah satu teori yang menjelaskan bagaimana kanak-kanak menginterpretasikan objek dan kejadian-kejadian sekitarnya. Bagaimana kanak-kanak mempelajari ciri-ciri dan fungsi dari objek-objek seperti mainan,  perabot, dan makanan serta objek-objek sosial seperti diri, orang tua dan teman. Bagaimana cara kanak-kanak mengelompokkan objek-objek untuk mengetahui persamaan-persamaan dan perbezaan-perbezaannya, untuk memahami penyebab terjadinya perubahan dalam objek-objek dan perisiwa-peristiwa dan untuk membentuk perkiraan tentang objek dan peristiwa tersebut.
Jean Piaget percaya fungsi kecerdasan adalah untuk membantu menyesuaikan diri iaitu adaptasi kanak-kanak terhadap persekitaran. Fokus penyesuaian adalah berdasarkan perkembangan kognitif yang dilihat bersama-sama dengan respon kompleks yang dialami terhadap persekitaran. Dengan meningkatnya pembelajaran dan kematangan kanak-kanak, kedua-dua kecerdasan dan manifestasinya menjadi berbeza-beza. Piaget percaya perkembangan berlaku dalam tahap-tahap yang mengalami perubahan melalui equilibration iaitu penyeimbangan, keadaan yang menyebabkan kanak-kanak mencari suatu keseimbangan di antara apa yang dialami dalam persekitaran dengan proses dan struktur kognitif yang dihadapinya.
Menurut Jean Piaget, proses keseimbangan iaitu asimilasi dan akomodasi berkaitan antara perubahan dengan perkembangan kognitif. Asimilasi dari sudut biologi adalah integrasi antara elemen-elemen eksternal (dari luar) terhadap struktur yang sudah lengkap pada organisme.  Asimilasi kognitif meliputi objek eksternal menjadi struktur pengetahuan internal.  Proses asimilasi ini didasarkan atas kenyataan bahawa setiap saat manusia selalu mengasimilasikan informasi-informasi yang sampai kepadanya, kemudian informasi-informasi tersebut dikelompokkan ke dalam istilah-istilah yang sebelumnya telah mereka ketahui.
Manakala akomodasi adalah menciptakan langkah baru atau memperbaharui atau menggabung-gabungkan istilah lama untuk menghadapi cabaran baru. Akomodasi kognitif bermaksud mengubah struktur kognitif yang telah dimiliki sebelumnya untuk disesuaikan dengan objek stimulus eksternal. Jika pada asimilasi berlaku perubahan pada objeknya, maka pada akomodasi perubahan terjadi pada subjeknya, sehingga ia dapat menyesuaiakan diri dengan objek yang ada di luar dirinya. Struktur kognitif yang sudah ada dalam diri seseorang mengalami perubahan supaya sesuai dengan rangsangan-rangsangan objeknya. Jean Piaget membahagikan perkembangan kognitif kepada empat tahap iaitu sensori motor, praoperasi, operasi konkrit dan operasi formal.
Tahap sensori motor bermula sejak lahir hingga kanak-kanak berumur dua tahun. Menurut Piaget, kanak-kanak pada tahap ini lebih berfokus terhadap apa yang dipersepsikan melalui deria. Bayi tidak mempunyai deria terhadap pengekalan objek, iaitu suatu keadaan di mana objek-objek memang wujud walaupun tidak dapat dipersepsikan oleh bayi. Pada akhir tahap ini, iaitu dalam lingkungan 18 hingga 24 bulan, kanak-kanak mula menunjukkan tanda-tanda representasi iaitu representasi dalaman terhadap rangsangan luaran. Pada masa ini, kanak-kanak mula memikirkan tentang orang dan benda tetapi tidak semestinya dapat mempersepsi pada masa tersebut. Ini adalah masa peralihan kepada tahap praoperasi seseorang kanak-kanak.
          Pada tahap praoperasi, iaitu umur dalam lingkungan dua tahun hingga lebih kurang enam atau tujuh tahun kanak-kanak mula membina representasi mental secara dalaman dengan aktif yang telah mula beroperasi pada akhir tahap sensori motor. Dengan adanya pemikiran representasi maka muncul komunikasi verbal. Namun, komunikasi tersebut lebih egosentrik. Pada tahap ini kanak-kanak akan bercakap mengikut mindanya dengan tidak mempedulikan apa yang disebut oleh orang lain. Pada tahap ini juga, keupayaan kanak-kanak untuk memanipulasikan konsep masih terhad. Kanak-kanak memberi tumpuan pada satu aspek yang dapat dilihat daripada objek atau situasi yang disebut centration. Pada tahap ini banyak perubahan perkembangan berlaku. Kanak-kanak semakin aktif dan mengalami pelbagai ujian, bereksperimen dengan menggunakan bahasa dan objek atau benda di persekitarannya.
Tahap operasi konkrit bermula pada umur tujuh atau lapan dan sehingga 11 tahun atau 12 tahun. Kanak-kanak dapat memanipulasi dan membentuk representasi mental secara dalaman. Mereka mempunyai pelbagai pemikiran dan memori tentang objek-objek yang konkrit seperti komputer, perabot dan sebagainya. Dalam eksperimen konservasi kuantiti yang dilakukan oleh Piaget, kanak-kanak dapat mengabadikan dalam minda kuantiti dan memerhatikan perubahan dalam bentuk luaran objek atau benda-benda lain. Pada mulanya, kanak-kanak bergantung pada persepsi segera seperti rupa bentuk objek secara luaran. Dengan perlahan-lahan mereka membentuk peraturan dan skema dalaman tentang apa dan bagaimana sesuatu perkara berlaku. Seterusnya, mereka akan menggunakan skema dalaman untuk memberi panduan tentang penakulannya daripada bentuk luaran sahaja. Kanak-kanak pada tahap operasi konkrit ini dapat memanipulasi representasi dalaman objek-objek yang konkrit untuk mengesan dan mengenal pasti kuantiti-kuantiti yang terkandung di dalamnya.
Tahap yang terakhir ialah tahap operasi formal yang bermula pada umur 11 tahun atau 12 tahun dan seterusnya. Tahap ini melibatkan operasi mental pada tahap yang abstrak dan simbol yang mungkin tidak mempunyai bentuk fizikal dan konkrit. Kanak-kanak memahami perkara-perkara yang mungkin mereka tidak terlibat dan alami secara langsung. Selain itu, kanak-kanak ini dapat membentuk dan mencari untuk mewujudkan representasi mental pada situasi yang dihadapinya dengan logik. Oleh itu, perkembangan kognitif adalah berasaskan tahap demi tahap. Bagi Piaget, tahap-tahap ini berlaku pada usia yang sama bagi kanak-kanak. Setiap tahap berlaku dalam bentuk yang sama dan tidak berubah-ubah. Apabila kanak-kanak memasuki tahap baru, kanak-kanak memikirkan cara-cara dan ciri-ciri yang dikenal pasti dalam tahap berkenaan dengan nyata dan berkesan.

Prinsip Pertumbuhan dan Perkembangan Kanak-kanak



Kajian terhadap perkembangan dan pertumbuhan kanak-kanak telah lama dibuat oleh tokoh-tokoh psikologi. Menurut kajian ahli psikologi, perkembangan manusia berlaku dari empat aspek perubahan iaitu jasmani, mental, emosi dan sosial yang dipengaruhi oleh dua faktor utama iaitu faktor baka dan faktor persekitaran. Antara tokoh-tokoh psikologi yang membuat kajian ke atas perkembangan kanak-kanak ialah Jean Piaget yang terkenal dengan Teori Perkembangan Kognitif Kanak-kanak, Teori Perkembangan Sosial Kanak-kanak oleh Diana Baumrind, Arnold Lucius Gesell dengan Teori Kematangan Kanak-kanak. Secara terperincinya, tokoh-tokoh psikologi membuat kajian ke atas seseorang kanak-kanak yang membesar secara fizikal yang juga akan membina kualiti kelakuan dan personalitinya berdasarkan kepada empat faktor tingkah laku. Empat kategori pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak itu ialah perkembangan fizikal, perkembangan kognitif, perkembangan afektif dan psikologi, dan perkembangan sosial.

Perkembangan fizikal merujuk kepada tumbesaran saiz badan dan organ-organ fungsi sistem fizikal dan kordinasi kemahiran motor yang halus dan kompleks. Seseorang individu membesar dari keadaan bayi hingga ke keadaan saiz dewasa sebelum mengecut kembali apabila badan mula melalui prosese penuaan. Merujuk Haliza Hamzah dan Joy N. Samuel dalam buku Perkembangan Kanak-kanak, perkembangan fizikal adalah proses perkembangan kemahiran psikomotor dalam diri individu. Kemahiran tersebut biasanya memerlukan penggunaan anggota badan, misalnya seorang kanak-kanak yang bermula dengan kemahiran mengenal huruf, menulis dan kemudian membaca.


Berbeza dengan pendapat di dalam carian laman web http://www.scribd.com, perkembangan fizikal dapat ditakrifkan sebagai perubahan saiz fizikal, kadar pertumbuhan bahagian-bahagian badan, fungsi anggota-anggota badan dan perawakan manusia. Selain itu, carian di dalam laman web http://www.mycreche.com.my/services.htm pula, mentakrifkan perkembangan fizikal sebagai perubahan dari segi bentuk, saiz, kebolehan mengawal pergerakan motor kasar dan motor halus serta koordinasi anggota badan. Secara huraiannya, pembentukan manusia adalah hasil daripada satu sel persenyawaan benih ibu dan bapa yang akan membesar menjadi janin dalam kandungan ibu selama sembilan bulan sebelum dilahirkan. Kemudiannya, bayi itu akan berubah secara beransur-ansur menjadi seorang kanak-kanak yang membesar. Maka, proses perubahan yang dilalui bayi itulah dipanggil proses pertumbuhan dan perkembangan.

Perkembangan kognitif mengupas isu kemahiran yang merangkumi kemahiran membaca, menulis, mengira, berfikir secara kreatif dan kritis. Perkembangan ini adalah perubahan-perubahan yang berlaku semasa otak manusia berfungsi. Ini bermaksud persepsi, pembentukan konsep permerolehan bahasa, daya ingatan, kebolehan ruang dan kebolehan matematik. Lain-lain aspek perkembangan kognitif ialah kebolehan penghujahan, penaakulan secara rasional untuk penggunaan dalam penyelesaian masalah-masalah logik. 

Menurut Siti Hawa Munji dan Ma’rof Redzuan dalam buku Pengantar Psikologi, perkembangan kognitif dikatakan sebagai perkembangan fikiran dan intelek manusia. Selain itu, perkembangan kognitif kanak-kanak dalam carian laman web http://www.anakku.my/artikel menyifatkan perkembangan kognitif sebagai proses peningkatan keupayaan pemikiran, pengetahuan dan intelektual kanak-kanak. Dalam kata lainnya, proses ini melihat kepada kemampuan kanak-kanak dalam menjana akal budi dalam pelbagai aktiviti penyelesaian masalah di samping memahami dan menganalisa masalah tersebut.  Secara amnya, bidang ini mementingkan siasatan ke atas bagaimana seseorang kanak-kanak dapat berkembang dari satu usia ke usia mental yang lebih tinggi. Dalam usia tersebut, kanak-kanak biasanya mula membentuk pengetahuan serta pemahaman baru terhadap pengalaman yang dilaluinya. Justeru, perkembangan kognitif ini merupakan salah satu daripada proses tumbesaran yang dilalui oleh setiap kanak-kanak.

Aspek perkembangan afektif dan psikologi menurut Haliza Hamzah dan Joy N. Samuel dalam buku Perkembangan Kanak-kanak membincangkan aspek kemahiran mengurus dan mengawal emosi. Aspek ini merujuk kepada perkembangan perasaan, emosi, dan kelakuan individu. Ia melibatkan kebolehan untuk mengetahui diri sendiri dan kebolehan untuk mengurus emosi serta ketrampilan diri. Dalam proses perkembangan ini, kanak-kanak sudah dapat mengawal perasaan dalam situasi tertentu. Emosi ialah gambaran perasaan pada wajah seseorang manakala pertumbuhan kanak-kanak pula akan berlaku apabila kanak-kanak berusia pada umur dua bulan setengah hingga tujuh bulan bayi dapat menggambarkan pada wajahnya perasaan seronok, gembira, duka, takut, sedih, bimbang dan sebagainya. Perasaan gembira digambarkan oleh bayi apabila dia dapat menguasai sesuatu seperti dapat berdiri, dapat memicit butang televisyen dan sebagainya dan akan berasa marah jika keinginannya untuk melakukan sesuatu dihalang.

Perkembangan afektif dan psikologi lebih dikaitkan dengan perasaan iaitu suatu aspek penting dalam dalam kehidupan seseorang termasuk negatif atau positif kerana ia membantu kanak-kanak membina idea baru, matlamat, dan perancangan. Kemampuan untuk bereaksi secara emosional sudah ada sejak bayi dilahirkan. Gejala pertama perilaku emosional dapat dilihat dari keterangsangan umum terhadap suatu stimulasi yang kuat. Misalnya apabila bayi suka dengan sesuatu, maka bayi akan menghentak-hentakkan kakinya. Sebaliknya bila bayi tidak suka dengan sesuatu, maka bayi bereaksi dengan cara menangis. Contoh lain boleh dilihat pada usia kanak-kanak yang berumur 2 hingga 4 tahun, di mana karakteristik emosi anak muncul pada ledakan marahnya. Ini boleh dilihat  apabila anak-anak menampilkan rasa tidak senang, anak-anak melakukan tindakan yang berlebihan, misalnya menangis, menjerit-jerit, melemparkan benda, atau memukul ibunya. Pada usia ini anak tidak memperdulikan akibat dari perbuatannya, apakah merugikan orang lain ataupun tidak.

Pada usia 5 hingga 6 tahun, emosi anak mulai matang. Pada usia ini anak mulai menyedari akibat-akibat dari tampilan emosinya. Anak mulai memahami perasaan orang lain, misalnya bagaimana perasaan orang lain bila disakiti, maka anak belajar mengendalikan emosinya. Ekspresi emosi pada anak mudah berubah dengan cepat dari satu bentuk ekspresi ke bentuk ekspresi emosi yang lain. Anak dalam keadaan gembira secara tiba-tiba dapat langsung berubah menjadi marah kerana ada sesuatu yang dirasakan tidak menyenangkan, sebaliknya apabila anak dalam keadaan marah, melalui bujukan dengan sesuatu yang menyenangkan anak akan berubah menjadi gembira.

Perkembangan yang terakhir ialah perkembangan sosial.  Dalam buku Perkembangan Kanak-kanak membincangkan perkembangan sosial ialah satu bentuk kemahiran menjalin perhubungan sosial dengan menunjukkan perlakuan yang baik dan sesuai mengikut norma-norma masyarakat. Dalam laman web http://www.geocities.com pula berpendapat perkembangan sosial sebagai satu proses kanak-kanak belajar berhubung dengan orang lain mengikut cara yang diterima oleh masyarakat dan budayanya. Proses ini meliputi cara berfikir tentang kendiri, orang lain dan perhubungan sosial. Perkembangan ini melibatkan proses sosialisasi yang membolehkan kanak-kanak mempelajari tingkah laku sosial atau melakukan penyesuaian sosial mereka iaitu bagaimana individu menjalin hubungan dengan orang lain, membentuk persahabatan, dan ikatan. Ia melibatkan perubahan-perubahan dan perkembangan yang berlaku pada personaliti dan kemahiran berhubung sesama manusia supaya individu dapat menyesuaikan dan menerima persekitaran sosial di sekelilingnya. 

Interaksi kanak-kanak boleh dikesan melalui perkembanganya dalam aktiviti bermain iaitu merupakan satu aktiviti penting kanak-kanak sejak lahir hingga berumur 12 tahun. Ada empat faktor penting yang mempengaruhi kemampuan anak bersosialisasi iaitu adanya kesempatan untuk bergaul dengan orang-orang di sekitarnya dari berbagai usia dan latar belakang, adanya minat dan motivasi untuk bergaul, adanya bimbingan dan pengajaran dari orang lain yang biasanya menjadi “model” bagi anak dan adanya kemampuan berkomunikasi yang baik yang dimiliki anak. 

PRINSIP-PRINSIP PERTUMBUHAN DAN PERKEMBANGAN KANAK-KANAK 

Apabila membincangkan prinsip-prinsip pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak terdapat lapan prinsip-prinsip seperti mana yang digariskan oleh Ruffin (2001). Prinsip yang pertama perkembangan berlangsung dari kepala ke bawah.  Arah kepala ke kaki yang juga disebut sebagai sefalokandal yang mana perubahan berlaku pada struktur dan fungsi pada bahagian kepala terlebih dahulu kemudian diikuti bahagian belakang badan. Kemudianya perkembangan berlaku di bahagian kaki. Dalam fungsi pergerakan, apabila kanak-kanak ditiarapkan, kanak-kanak itu berupaya mengangkat kepalanya terlebih dahulu sebelum boleh mengangkat dadanya. Contohnya kanak-kanak mula mengawal diri mulai dari kepala, kemudian tangan dan seterusnya kaki. Bayi berkembang bermula dengan kawalan di bahagian kepala, kemudian kawalan di bahagian tangan di mana mereka mempelajari untuk memegang objek-objek. Kemudian mereka akan membina kekuatan dan kawalan pada bahagian kaki dan bermula untuk merangkak, berdiri atau berjalan. 

Prinsip yang kedua perkembangan berlangsung dari tengah badan ke bahagian luar. Arah tengah ke tepi yang juga disebut sebagai promiksodistal. Perkembangan berlaku secara mendatar iaitu dari arah tengah badan menghala ke bahagian luar badan dan ke bahagian hujung anggota. Dari segi fungsi, didapati kanak-kanak menggunakan lengan terlebih dahulu sebelum menggunakan tangan dan jari. Kesimpulannya tahap perkembangan ini menjelaskan bahawa bahagian lengan kanak-kanak berkembang dahulu daripada bahagian telapak tangan dan bahagian tangan dan kaki berkembang dahulu daripada jari-jari. 

Prinsip ketiga merujuk kepada perkembangan bergantung pada kematangan dan pembelajaran. Pada peringkat pertama iaitu selepas lahirnya seorang bayi, mereka hanya dapat menghasilkan gerak balas dengan cara menyeluruh terhadap sesuatu ransangan kerana setiap tulang ototnya belum matang. Sebagai contoh, apabila seseorang bayi hendak mengambil sesuatu objek yang hampir dengannya maka seluruh badannya bergerak bersama-sama dengan lengan dan tangan, sedangkan jari-jari kecilnya tidak dapat digunakannya. Ini menunjukkan bayi tersebut menghasilkan gerak balas terhadap objek tersebut dengan cara menyeluruh. Apabila bayi itu bertambah besar,maka ia akan dapat menggunakan jari sahaja untuk mengambil sesuatu tanpa menggerakkan sebahagian besar anggota badannya yang lain. 

Prinsip yang seterusnya ialah perkembangan berlangsung daripada mudah (konkrit) kepada yang lebih kompleks. Kanak-kanak hanya boleh memahami contoh-contoh konkrit semasa awal zaman kanak-kanak. Mereka hanya memahami konsep-konsep yang abstrak dan kompleks apabila mencapai zaman keremajaan.  Kanak-kanak menggunakan kemahiran kognitif dan bahasa mudah dalam zaman awal kanak-kanak untuk memberi sebab musabab dan menyelesaikan masalah. Selepas itu, kuasa penghujahan mereka bertambah baik kerana ketika itu mereka sudah boleh membezakan dan mengklasifikasikan objek-objek. 

Selain itu, prinsip tumbesaran dan perkembangan adalah satu proses berterusan. Kanak-kanak membina pengetahuan dan kemahiran-kemahiran baru berdasarkan pengetahuan lalu. Seperti blok binaan, kanak-kanak membina dan mengumpul pengetahuan beransur-ansur, sedikit demi sedikit. Semua kanak-kanak mengikut pola perkembangan yang serupa. Satu peringkat mengikut pola perkembangan menjadi asas kepada peringkat perkembangan seterusnya. Kanak-kanak mesti pandai mengawal pergerakan tangan untuk memegang pensil atau krayon sebelum mereka dapat melukis atau menulis. 

Prinsip perkembangan yang seterusnya ialah tumbesaran dan perkembangan berlangsung daripada umum ke spesifik. Dalam perkembangan motor, kanak-kanak mestilah sudah boleh menggengam objek dengan keseluruhan tangan barulah mereka boleh belajar mengguna ibu jari dan jari telunjuk sahaja. Tumbesaran berlaku daripada pergerakan otot kepada pergerakan otot yang lebih seni. 

Prinsip yang terakhir iaitu kadar tumbesaran dan perkembangan tersendiri. Setiap kanak-kanak adalah berbeza dan kadar tumbesaran mereka adalah berbeza-beza. Walaupun pola dan ukuran tumbesaran dan perkembangan adalah serupa bagi semua kanak-kanak tetapi kadar pencapaian peringkat tumbesaran bagi setiap kanak-kanak adalah berbeza. Terdapat satu julat bagi setiap tugas perkembangan untuk berlaku. Walau bagaimanapun, ianya tidak seragam di dalam diri seseorang individu kanak-kanak. Contohnya perkembangan intelek seseorang kanak-kanak mungkin maju lebih cepat daripada perkembangan emosi dan sosialnya. 


KESIMPULAN

Kesimpulannya tahap perkembangan kanak-kanak adalah berbeza dari pelbagai sudut seperti fizikal, kognitif, afektif dan psikologi, dan sosial walaupun masing-masing melalui peringkat pertumbuhan yang sama. Pertumbuhan dan perkembangan seseorang kanak-kanak juga di pengaruhi oleh peranan ibu bapa atau guru. Ibu bapa atau guru seharusnya seiring dan bekerjasama dalam merancang sesuatu perkara bagi membantu pencapaian pertumbuhan kanak-kanak secara optimum supaya tahap perkembangan dan pertumbuhan kanak-kanak berkembang seiring.  Ibu bapa atau guru perlu menyediakan keperluan yang baik bagi membantu kanak-kanak dalam pertumbuhan dan perkembangan mereka. Semua keperluan dan kepentingan terhadap kanak-kanak adalah saling berkaitan. Penyediaan terhadap keperluan dalam mempengaruhi perkembangan dan pertumbuhan seseorang kanak-kanak haruslah perlu dititikberatkan dari aspek keselamatan dan kualiti sesuatu perkara agar perkara tersebut memberi kepentingan kepada kanak-kanak tersebut.
Selain itu, faktor persekitaran juga mempengaruhi tahap pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak. Jika baik persekitaran yang dibina maka pertumbuhan dan perkembangan seseorang kanak-kanak juga baik. Namun jika persekitaran yang dibina ke arah pembentukan yang negatif maka akan mempegaruhi corak pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak.

Mendidik Anak Secara Menyeronokkan




Saya kerap diminta berkongsi pengalaman , mendidik 6 anak melalui perspektif seorang doktor kanak-kanak yang faham tentang cara seorang anak berfikir dan bertindak. Pada saya mendidik seorang anak dengan memahami keadaan psikologi mereka amat menyeronokkan.

Keberkesanan sesuatu aspek pendidikan adalah hasil dari 'kemenangan' perang psikologi antara kita dan anak yang mahu kita didik.2) Ada beberapa perkara pokok yang harus diambil kira dalam pendidikan kanak-kanak. Diantaranya ialah

Faham akan kesediaan seorang anak itu menerima sesuatu mesej pendidikan dalam satu-satu masa tertentu. Anak yang letih, lapar atau mengantuk mustahil dapat menggarap sesuatu arahan bahan pendidikan. Langsung dia akan 'mendengarnya' tapi tidak 'mengikutnya'

Faham tahap perkembangan anak pada satu-satu tahap umur. Selalunya anak yang kecil, berumur 5 atau 6 tahun tidak faham istilah-istilah 'kabur' seperti 'jahat', 'buruk', 'baik', 'esok', 'lusa' dan sebagainya.

Cuba tunjukkan jari kita bila kita katakan kepada mereka yang satu-satu perkara akan terjadi 'lusa'. Agak mudah mereka memahami 'lusa' dengan cara begini dan ini akan mengelakkan dari mereka bertanya soalan yang sama bertalu-talu.

Kanak-kanak umpama alat perakam yang berkuasa tinggi. Segala bentuk percakapan, gaya bahasa, gaya berjalan orang disekelilingnya akan dirakam dan dijadikan ikutan amalan mereka. Oleh itu, adalah agak pelik bagi mereka sekiranya dipukul dan dimarahi oleh si ibu dengan arahan " jangan pukul adik!".

Dalam fikiran mereka, kalau ibu boleh pukul mereka , kenapa tidak, mereka tidak boleh pukul adik? Tahap fikiran yang simplistik , tapi releven dengan kemampuan kanak-kanak.c) Mudah difahami yang pendidikan kanak-kanak adalah umpama 'perang saraf' atau 'perang psikologi' yang amat menarik. Sekiranya kita kreatif dalam pendekatan psikologi ini ,maka mendidik anak menjadi senang dan menyeronokkan.d) Anak yang tidak mahu makan?

Gunakan pendekatan psikologi dan ubahkan arahan untuk makan dan ambil pendekatan yang boleh menjadikan suasana makan sesuatu yang seronok. Apa kata kalau makanan dalam pinggan itu kita andaikan sebagai 'monster' dan anak yang akan memakannya adalah 'ultraman'? atau gunakan cara lain yg difikirkan sesuai

Anak kecil selalunya gemar bertanding dan berlumba-lumba. Mereka seronok kalau menang.Apa kata kalau mereka dan kita 'berlumba' untuk ketempat mandi?

Saya yakin, arahan 'pergi mandi' yang kerap kali disanggah oleh seorang anak kecil akan bertukar menjadi satu perkara yang lebih positif; mereka mahu menang untuk ketempat mandi. Dan inilah yang kita mahukan.f) Usia 3-5 tahun adalah usia anak yang mahu gunakan 'kebebasan' yang baru mereka perolehi. Umur inilah mereka dah petah bercakap, pandai menyanggah arahan dengan perkataan"tak mahu". Masa inilah juga mereka sudah laju berjalan, malah mampu berlari.

Senang untuk lari dari melakukan sesuatu yang disuruh. Masa inilah juga kita boleh penat dengan kerenah mereka. Penat memberikan arahan yang tidak diendahkan. Penat sehinggakan kita mula gunakan kekerasan, ancaman atau menakut-nakutkan mereka dengan tahyul, atau perkara abstrak yang serupa

Kekerasan, ancaman atau takut menakutkan tidak perlu samasekali sekiranya kita faham kaedah psikologi dan tahu apa yang ada dalam fikiran mereka. Kaedah menakutkan kanak-kanak dengan hantu, 'polis' , 'doktor yang akan cucuk' kerap kita dengar. Ada ibu bapa yang gunakan kaedah ini untuk dapatkan 'menafaat'yang cepat; anak yang takut akan cepat patuhi arahan , sebab takut ' hantu', 'doktor' atau 'polis'

Namun agak janggal sekiranya kita takutkan mereka dengan sesuatu yang tidak perlu ditakuti hanya untuk dapatkan mereka lakukan sesuatu. Apa kata sekiranya mereka tidak lakukan perkara yang disuruh itu dan tiada pula 'hantu', 'polis' atau doktor' yang datang , seperti yang diancam? Tentunya ancaman itu dikira palsu dan pengalaman yang lebih mirip kepada penipuan. Maka 'halal'lah penipuan, sesuatu yang tidak mahu anak melakukanya. Tetapi kita yang lakukan.i) Yang baiknya kita cakap terus terang dan berikan cerita yang benar, kenapa sesuatu itu harus dilakukan.

Contohnya kita mahu anak mandi. Sebabnya, " nak suruh adik jadi bersih" . tapi anak diperingkat umur 3-5 tahun umumnya tak faham konsep 'bersih'. Terlalu abstrak bagi mereka.j) Apa kata kalau kita buat begini: "Cuba adik cium bau abah ni " . Dengan cara bermain-main , kita suruh dia cium bau badan abah sebelum mandi. Lepas itu kita suruh pula cium selepas mandi. Wangi selepas mandi itu akan buatkan satu contoh yang berkesan , bahawa macam ni maknanya 'bersih"

Saya dapati banyak perkara boleh selesai sekiranya kita kurangkan arahan yang abstrak kepada kanak-kanak kecil. Yang abstrak ni kita yang faham,tapi anak kecil mungkin tak faham. Diantara contoh konsep abstrak yang lain ialah : "jadi anak yang soleh" , " lintas jalan baik-baik",'makanlah betul-betul".l) "Soleh", "baik-baik", "Betul-betul" ni cukup luas maknanya. Anak kecil saya pernah 'menyergah' saya " Adik dah jalan baik-baik ni": yang dia maksudkan , dia dah berjalan dengan pakai selipar cara yang betul dan tidak terbalik. Sedangkan yang saya maksudkan, ialah " jangan berlari semasa lintas jalan"!

Saya cukup seronok, bila tanya semula seorang anak kecil: "baik tu apa agaknya" atau " Soleh tu apa ya?"

Dengan cara ini kita boleh semak kefahaman mereka, dan sesuaikan arahan kita dengan apa yang mereka fahamn) Anak kecil cukup cepat faham bila kita tunjuk apa yang kita mahukan dari mereka. Jangan beri arahan secara lisan sahaja . Contohnya kita mahukan mereka keemaskan barang permainan selepas bermain. Yang biasanya kita cakap " kemas barang permainan kamu tu". Kita tinggalkan mereka untuk mengemas.

Kadangnya menjadi, kadangnya tidak. Kadangnya dikemaskan,tapi tidak mengikut apa yang kita takrifkan sebagai kemaso) Cuba kaedah yang lebih menyeronokkan. "Jom kita kemas sama-sama; tengok siapa yang siap dulu" Lazimnya ajakan ini lebih merupakan ajakan untuk bertanding . Anak kecil suka dengan bentuk arahan sebegini. Pada peringkat permulaannya kita tunjukkan kepada mereka cara mengemas .

Lepas itu saya lazimnya melihat mereka akan membuat perkara itu dengan suruhan yang sedikit sahaja. Tak perlu disergah dan dimarah. Cuba cara yang lebih menyeronokkan ini.

Isu seterusnya:


Adakah anak kecil akan menjadi seorang yang materialistik bila kita kerap memberikan hadiah semasa kecil?

Boleh kah kita pukul seorang anak yang buat kesalahan?

Wajar kah kita latih anak untuk pakai pakaian menutup aurat dari kecil lagi?

Bagaimana untuk memastikan anak kecil makan ?

Anak yang sering gigit dan pukul rakan -rakan. Bagaimana cari menyelesaikannya?

Psikologi Kanak-kanak Perlu Kepada Enam Aspek


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
 
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,

Perkembangan merupakan satu proses yang berterusan dari peringkat lahir hingga peringkat kematangan. Mengikut ahli psikologi perkembangan manusia dari aspek perubahan kerohanian, jasmani, kognitif, emosi, sosial dan kepimpinan. Perkembangan kanak-kanak adalah dipengaruhi oleh dua faktor yang utama iaitu faktor baka dan faktor persekitaran.

Perkembangan juga boleh disifatkan sebagai pengaliran yang saling berkait antara perubahan kuantitatif dan perubahan kualitatif yang menuju ke arah tertentu. Menurut Atan Long (1980), perkembangan ialah perubahan kualitatif. Ia tidak dapat diukur secara kuantitatif tetapi jelas dilihat perubahan telah berlaku kerana sifat baru berlainan daripada peringkat yang lebih awal. 


Gesell (1949) menyatakan, walaupun tidak ada dua individu yang benar-benar serupa, secara global semua kanak-kanak yang normal cenderung mengikut susunan pertumbuhan yang biasa dilalui oleh kanak-kanak. Kesimpulannya perkembangan dapat ditakrifkan sebagai satu perubahan kualitatif yang sistematik meliputi aspek biologi, kognitif dan sosioemosi. Perubahan tersebut adalah berterusan dalam mematangkan dan mendewasakan suatu benda hidup hingga ke akhir hayatnya.

Pertama : Aspek Kerohanian. 


Dalam konteks pendidikan Islam, pengajaran berkait rapat dengan konsep fitrah. Kanak-kanak yang lahir adalah mempunyai fitrah yang suci dan baik. Unsur-unsur luar sama ada yang baik atau buruklah yang akan mempengaruhi fitrah kanak-kanak. Jadi adalah amat perlu kanak-kanak diajar dengan unsur-unsur yang dapat mengekalkan fitrah mereka sebagaimana yang dibekalkan kepada mereka sejak lahir. 


Cara untuk mengekalkan kejadian fitrah tersebut adalah dengan memperkembangkan potensi semula jadi mereka berlandaskan ajaran Islam dan membersihkan hati atau rohani mereka yang juga disebut sebagai spiritual. Ini kerana menurut pandangan Islam, kebersihan rohani adalah ciri terpenting yang perlu ada pada setiap umatnya. Jadi, aspek kerohanian juga perlu dimasukkan dalam kurikulum pendidikan Islam. 

Aspek ini akan menjamin kebersihan rohani dan menyucikan jiwa anak-anak Islam daripada sifat-sifat yang boleh meruntuhkan akhlak mereka seterusnya dapat menjamin bahawa asosiasi yang bakal dilahirkan nanti menjadi insan yang soleh.

Bagi memastikan aspek kerohanian dapat diperkembangkan melalui Kurkulum Pendidikan Islam, pengetahuan seperti tauhid, akidah, pengetahuan tentang perkara-perkara yang halal dan haram, hukum-hukum syariah Islam, pengetahuan tentang aspek kerohanian dan kehidupan serta pengetahuan tentang realiti alam ini mestilah diajarkan kepada mereka. Doa-doa asas kehidupan dan membaca al-Quran perlulah diajarkan. Aspek ini akan dapat memandu anak-anak Islam untuk memahami tentang kejadian alam ini, penciptanya, memahami diri mereka serta melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang perlu mereka pikul. Anak-anak yang bukan Islam juga boleh diajarkan aspek akhlak yang baik.

Kedua : Aspek Jasmani.

Ahli falsafah barat ada mengatakan “Don’t judge a book by it’s cover”. Falsafah ini menerangkan bahawa kita tidak boleh menilai seseorang itu hanya dari segi luaran sahaja, tetapi perlu melihat dari dalam, barulah membuat kesimpulan. 


Namun dalam konteks ajaran Islam, faktor luaran dan dalaman mempunyai hubungan di antara satu sama lain. Islam bukan sahaja menilai dari segi ilmu pengetahuan yang dimiliki seseorang tetapi juga mementingkan kebersihan diri dan kesihatan fizikal, iaitu aspek luaran. Aspek jasmani perlu seiring dengan ilmu yang dimiliki kerana ia akan mencerminkan keperibadian seseorang. Oleh itu amat perlu agar anak-anak Islam turut diajar tentang cara untuk menjaga kesihatan fizikal atau jasmani.

Sewajarnya kurikulum di sekolah, mengandungi pendidikan khas untuk memelihara kesihatan fizikal atau jasmani murid-murid. Aspek ini bukan sahaja boleh disampaikan melalui mata pelajaran Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan tetapi juga melalui Pendidikan Agama Islam. Penjagaan kesihatan perlu ditekankan dalam pendidikan Islam agar anak-anak Islam berpeluang mempelajari dan mengamalkan pengetahuan yang boleh memperkembangkan lagi potensi mereka dari pelbagai sudut. Sekiranya anak-anak Islam mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi, bersih dari segi fizikal dan spiritualnya, maka barulah dikatakan dia telah dilengkapi dengan sifat-sifat insan yang soleh dan berkembang secara seimbang serta harmonis dalam pelbagai aspek sebagaimana yang telah digariskan dalam Falsafah Pendidikan Negara.

Ketiga : Aspek Kognitif :

Pada peringkat ini, perkembangan motor kanak-kanak adalah lebih baik dan menunjukkan koordinasi yang lebih baik. Kemahiran motor yang telah dikuasai pada peringkat awal kanak-kanak seperti berlari, memanjat, melompat, dan sebagainya sudah mencapai tahap yang lebih mantap di samping beberapa jenis kemahiran yang baru telahpun dikuasai.

Kemahiran-kemahiran ini adalah seperti lompat tali atau skipping, berenang ,menunggang basikal dan meluncur (skating). Misalnya,kanak-kanak yang berusia 6 tahun sudah boleh melakukan aktiviti seperti mengetuk, mengikat tali kasut, memakai pakaian, melukis dengan menggunakan pensel untuk menggantikan krayon, dan tulisan mereka menjadi semakin kecil. Kanak-kanak antara 8 hingga 10 tahun pula boleh menggergaji, mengendalikan alatan untuk berkebun dan menjahit. Bagi mereka yang sudah berusia antara 10 hingga 12 tahun, tulisan mereka semakin kecil dan kemas, dan mereka telahpun menunjukkan kemahiran manipulatif yang hampir sama dengan orang dewasa.

Ibu bapa dapat mempengaruhi perkembangan kognitif kanak-kanak dengan memindahkan pengetahuan berkenaan maklumat dan budaya dalam menunjuk ajar mereka melalui tingkah laku ibu bapa itu sendiri.

Keempat : Aspek Emosi. 


Emosi berkait rapat dengan mental dan kebolehan seseorang mengawal perasaan dalam semua tindak-tanduknya. Seseorang yang mampu mengawal emosinya akan juga dapat menjaga tingkah-lakunya. Manakala akal pula menjalankan tugasnya sebagai pengawal kepada emosinya. Sekiranya seseorang mampu menjaga akalnya, maka dia juga akan mampu mengawal emosinya.

Akal merupakan salah satu punca pengetahuan selain daripada deria dan intuisi. Sekiranya asosiasi yang hendak dididik itu mempunyai tahap kewarasan akal yang baik, maka mereka akan mampu mencapai tahap ilmu pengetahuan yang tertinggi serta dapat menggunakan pengetahuan tersebut dengan sebaik mungkin. 


Mengikut ahli-ahli falsafah Islam, selain mempunyai fungsi tersendiri, akal juga mempunyai beberapa kelebihan. Di antara kelebihan akal ialah, akal diibaratkan sebagai cahaya yang menerangi manusia di dalam gelap gelita yang menunjuknya pada kebenaran. Akallah yang mengajar manusia mengambil kesimpulan yang benar berdasarkan pengalaman yang lampau, yang memungkinkan manusia menilai pemikiran sendiri dan membezakan antara ilmu yang betul dengan khayalan kosong.

Huraian di atas menunjukkan betapa pentingnya manusia mengawal emosi dengan menggunakan akal yang waras. Hanya dengan memiliki emosi yang baik sahaja seseorang itu dapat memimpin diri dan seterusnya memanfaatkan ilmu yang diperolehinya untuk kesejahteraan masyarakat dan negara.


Oleh itu, untuk menjamin anak-anak Islam berkembang dengan sifat-sifat yang sempurna, pendidikan yang menjurus kepada cara untuk memelihara emosi yang baik perlu ada dalam kurikulum yang diajarkan. Sebagai contoh mengajar mereka membentuk jati diri melalui penerapan nilai-nilai murni yang boleh diajarkan sama ada secara formal atau informal. Penekanan terhadap nilai-nilai murni dalam pendidikan di sekolah mampu melahirkan seorang individu yang mempunyai mental yang sihat.

Kelima : Aspek Sosial. 

Perkembangan sosial kanak-kanak merupakan satu proses perkembangan yang membolehkan kanak-kanak berinteraksi dengan orang lain mengikut cara yang boleh diterima oleh sesuatu masyarakat serta budaya. Pendek kata perkembangan sosial melibatkan proses sosialisasi yang membolehkan kanak-kanak mempelajari tingkah laku sosial atau melakukan penyesuaian sosial dalam sesuatu persekitaran atau lingkungan sosial.

Perkembangan sosial kanak-kanak dapat dikaji melalui beberapa aspek sosialisasi yang penting seperti proses peniruan dan identifikasi, aktiviti bermain, perkembangan kongnisi sosial, persahabatan dan perhubungan dengan rakan sebaya.

Sepanjang proses sosialisasi, kanak-kanak mempelajari tradisi, kepercayaan, nilai, dan adat yang dianuti oleh kumpulan sosial mereka. Mereka juga mempelajari peraturan -peraturan sosial yang diamalkan oleh sesuatu kumpulan sosial. Misalnya, mereka mempelajari cara pemaparan emosi yang sesuai,dan cara mentafsir tingkah laku dan pernyataan emosi orang lain dengan tepat. Proses sosialisasi ini pula ditentukan pula oleh konteks budaya. Tingkah laku sosial yang sesuai bagi sesuatu budaya mungkin dianggap tidak sesuai bagi budaya lain. Namun demikian, terdapat banyak tingkah laku sosial yang bersifat universal dan merentasi pelbagai kumpulan etnik dan budaya

Keenam : Aspek Kepimpinan.

Selain daripada usaha untuk memperkembangkan potensi murid-murid dari aspek (rohani, jasmani, kognitif, emosi, dan sosial), ciri-ciri kepimpinan juga amat perlu diajar kepada mereka. Aspek ini akan mengukuhkan lagi potensi dan perkembangan mereka dari segi yang disebutkan di atas. Anak-anak di peringkat awal usia perlu didedahkan kepimpinan dalam Islam walaupun dengan hanya menceritakan kisah-kisah Nabi SAW dan sahabat-sahabat baginda.

Kandungan kurikulum perlu memasukkan elemen-elemen sejarah yang dapat menjelaskan tentang sifat-sifat kepimpinan yang dimiliki oleh pemimpin-pemimpin agung Islam pada masa dahulu. Berdasarkan pembelajaran tersebut anak-anak Islam yang hendak kita bentuk ini akan lahir sebagai seorang yang mempunyai kemahiran memimpin dan mewarisi sifat-sifat kepimpinan. Dengan itu juga mereka pastinya dapat menjalankan tanggungjawab mereka dengan baik.

Sahabat yang dimuliakan, 

TASKA atau persekolahan merupakan sebuah institusi yang awal diwujudkan sebelum kanak-kanak itu masuk alam persekolahan, dengan tujuan melahirkan individu-individu berguna, berwibawa serta dapat mencapai apa yang dikehendaki. Dalam konteks pendidikan Islam, berguna yang dimaksudkan bukan sahaja kepada diri sendiri, malah kepada masyarakat, bangsa, agama mahupun negara pada masa akan datang. Berwibawa pula membawa pengertian seseorang itu mampu memikul tanggungjawab yang telah diamanahkan, sama ada tanggungjawab itu diberikan oleh orang lain mahupun diperintahkan oleh Allah S.W.T. Dengan adanya ciri-ciri tersebut, insya Allah anak-anak Islam akan menjadi seorang berkebolehan dari semua segi.

Berdasarkan daripada perbincangan-perbincangan yang telah dibuat sebelum ini, maka dapatlah dirumuskan bahawa pendidikan kepada anak-anak Islam perlu merangkumi aspek-aspek berikut:

1. Pendidikan akal dan persiapan fikiran. Allah menyuruh manusia merenungi kejadian langit dan bumi agar manusia beriman kepadaNya. Walaupun seawal usia 4 tahun mereka boleh diajarkan merenung keindahan ciptaan Allah SWT.

2. Mengembangkan potensi dan bakat semula jadi kanak-kanak. Islam adalah agama fitrah. Ajarannya tidak terasing daripada tabiat semulajadi manusia, bahkan ia sesuai dengan fitrah kejadian manusia; tidak ada kerumitan atau perkara luar biasa.

3. Memberi kekuatan dan potensi generasi muda dan mendidik mereka sebaik-baiknya, sama ada lelaki ataupun perempuan.

4. Berusaha untuk menyeimbangkan segala potensi dan bakat manusia.

Justeru, untuk melahirkan insan yang soleh dan seimbang dari segi rohani, jasmani, kognitif, emosi, sosial, dan kepimpinan , maka individu-individu khususnya anak-anak Islam perlu diajar dengan kurikulum yang sesuai dan dapat memenuhi tuntutan agama kita agar mereka ini akan lahir sebagai seorang insan mukmin yang dapat memikul tanggungjawab untuk memajukan diri, keluarga masyarakat, negara dan paling penting untuk agama. Oleh demikian, adalah diharapkan agar orang muslim, khususnya murid-murid mengambil peluang yang ada untuk mempelajari ilmu yang disampaikan kerana ilmu itu adalah sunnah dan ajaran Rasulullah.

Firman Allah S.W.T. yang bermaksud: “Apa yang di bawa oleh rasul hendaklah kamu mengikutinya, sedang yang dilarang, hendaklah kamu menjauhinya”. (Surah al-Hasyr ayat 7)

Adalah diharapkan dengan adanya kandungan kurikulum pendidikan yang baik, matlamat untuk melahirkan insan mukmin yang soleh akan terlaksana.

Psikologi Rasulullah S.A.W Dalam Berinteraksi Dengan Kanak-Kanak


Secara fitrahnya, manusia saling memerlukan antara satu sama lain untuk terus hidup di muka bumi ini. Dengan itu, manusia adalah masyarakat sosial kerana manusia sentiasa berinteraksi antara satu sama lain. Psikologi dakwah memainkan peranan penting dalam kehidupan masyarakat bukan sahaja pada masa kini, tetapi juga untuk umat masyarakat akan datang.
Secara ringkasnya, psikologi dari segi bahasa bermaksud kajian tentang jiwa atau pemikiran. Psikologi merupakan satu bidang ilmu untuk memahami peranan mental individu dalam bertingkah laku dan bersosial. Pengetahuan psikologi diterapkan dalam pelbagai bidang kegiatan manusia termasuk keluarga, pendidikan, kerjaya, dan rawatan masalah kesihatan mental. Psikologi merangkumi sub-bidang yang pelbagai seperti perkembangan manusia, sukan, kesihatan, industri, media dan undang-undang. Psikologi juga menggabungkan kajian daripada ilmu-ilmu sosial, ilmu alam dan ilmu kemanusiaan.
Dakwah merupakan suatu tanggungjawab agama yang mesti dipikul oleh setiap muslim. Ia adalah usaha untuk menyampaikan saranan agama dan menyeru manusia kepada kebaikan. Tangungjawab ini lahir dari komitmen dan iltizam mereka kepada kebaikan iaitu untuk menyampaikan kebaikan bukan hanya kepada diri sendiri atau keluarga tersayang tetapi juga kepada warga manusia sejagat.
Dakwah bermaksud seruan dan ajakan. Firman Allah S.W.T dalam surah Al-Imran, ayat 104 yang bermaksud:
 “Dan hendaklah ada dikalangan kamu yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang segala perbuatan yang salah (buruk dan keji). Mereka yang bersifat demikian itulah orang-orang yang berjaya.”
Untuk mencapai kehidupan sosial yang baik sebagaimana yang dikehendaki, dakwah secara psikologinya perlu diwujudkan melalui pembinaan sosial yang mantap. Rasulullah s.a.w bukan sahaja menggunakan psikologi dakwah dalam bidang pentadbiran negara, hubungan diplomatik dan dakwah terhadap masyarakat, malah ketika berinteraksi dengan anak-anak kecil.
Kanak-kanak dilahirkan dalam keadaan yang tidak mengetahui apa-apa seperti yang selalu disebut-sebut dalam masyarakat “anak ibarat kain putih”. Oleh itu, menjadi tugas ibubapa dalam membentuk dan mencorak anak-anak tersebut sama ada baik atau buruknya budi pekerti mereka.
Sabda Rasulullah s.a.w. di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan menerusi Abu Hurairah r.a yang bermaksud:
“Tidak ada seorang bayi melainkan dilahirkan di dalam keadaan fitrah. Kedua ibu bapanyalah yang meyahudikannya, memajusikannya atau mengkristiankannya.”
            Kanak-kanak juga telah dilahirkan daripada perut seoarang ibu tanpa mengetahui sesuatu pun. Ibu bapalah yang bertanggung jawab memberi didikan kepada anak-anak mereka supaya menjadi insan yang berguna dan berakhlak mulia. Firman Allah s.w.t di dalam surah An-Nahl ayat 78 yang bermaksud:
“Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibu kamu dengan keadaan tidak mengetahui sesuatupun, dan Dia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati akal fikiran, supaya kamu bersyukur.”

 Perkembangan Sosial Dan Moral Kanak-kanak.

            Nabi Adam a.s merupakan kejadian manusia pertama yang dicipta oleh Allah s.w.t. daripada at-tin iaitu tanah liat hitam. Firman Allah s.w.t.di dalam surah Al-Hijr ayat 26 yang bermaksud:
“Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia (Adam) daripada tanah liat yang kering, yang berasal dari tanah kental (lumpur hitam) yang berubah warna dan bau.”
            Allah telah menjadikan keturunan manusia dari sejenis pati iaitu air mani yang kotor daripada tulang sulbi lelaki dan tulang dada perempuan. Dia telah menciptakan manusia secara berperingkat-peringkat sehingga lahirlah bayi yang mempunyai sifat-sifat semulajadi dan bersih.
            Menurut ahli psikologi, perkembangan merupakan perubahan secara kualitatif serta kecenderungan ke arah lebih baik dari segi pemikiran, rohani, moral dan sosial. Perkembangan emosi pada peringkat kanak-kanak banyak dipengaruhi melalui pelaziman dan cara peniruan. Peringkat kanak-kanak merupakan peringkat ingin belajar dan mencuba sesuatu. Mereka juga mudah terpengaruh dengan persekitaran yang dihuni.
            Cara pelaziman berlaku dengan mudah dan cepat. Ini kerana kanak-kanak suka menggunakan daya imaginasi dalam membayangkan sesuatu mengikut apa yang telah dilazimkan dalam diri kanak-kanak tersebut.
            Kanak-kanak akan meniru tingkah laku emosi yang diperhatikannya pada orang disekeliling mereka dan memberikan tindak balas. Ibu bapa adalah model utama untuk anak-anak meniru tingkah laku mereka. Jika ibu bapa berkelakuan buruk, bertindak keras dan menganiaya anak-anak, maka emosi dan tingkah laku mereka juga turut menyeleweng.
            Pada peringkat ini, mereka bersedia untuk menerima apa sahaja perkara sama ada yang baik dan buruk. Akhlak berkembang mengikut peringkat usia. Ketika anak-anak belum memahami yang baik dan buruk, mereka perlu diberikan latihan untuk biasakan mereka dengan akhlak yang mulia. Rasulullah s.a.w menyeru kepada semua umat Islam yang mempunyai anak supaya mencorak pendidikan anak-anak sejak dari kecil lagi. Baik buruk apa yang diajarkan itulah yang akan membentuk keperibadian anak tersebut. Akhlak yang dibentuk oleh orang terdekat dengan seseorang kanak-kanak akan berkembang bersama pembesaran mereka sehingga menjadi sebahagian daripada tabiat mereka ketika dewasa kelak.
Oleh itu, ibu bapa dan insan di sekeliling perlulah memberi didikan dan menunjukkan ciri-ciri dan sifat yang mulia dihadapan kanak-kanak untuk mereka jadikan teladan. Mereka juga perlulah diberi layanan yang baik serta belaian yang mesra agar mereka sentiasa berasa disayangi dan disanjungi. Itulah antara faktor yang akan menyebabkan mereka menghormati orang lain apabila dewasa kelak.
Rasulullah s.a.w. menyedari tentang hakikat ini. Baginda berinteraksi dengan kanak-kanak dengan penuh kasih sayang dan sentiasa memberikan pengajaran kepada mereka. Anak-anak merupakan generasi penerus dan harapan bangsa. Mereka memerlukan pembinaan akal yang sihat dan akhlak yang mulia dalam mengharungi kehidupan ini supaya mereka terlepas dari kejumudan pola fikiran dan keterbelakangan.
Apabila kita dapat membentuk akhlak anak-anak kita sesuai dengan panduan yang digariskan Rasulullah s.a.w., nescaya akan memberikan pengaruh yang sangat berkesan terhadap masyarakat. Anak-anak yang berakhlak mulia mampu mengukuhkan masyarakat sejagat.

  Aspek Penting Dalam Mendidik Anak-Anak.

            Imam Al-Ghazali dalam kitabnya Ihya Ulum Ad-Din menekankan betapa perlu dan pentingnya keperibadian tinggi bagi seorang pendidik yang berkesan. Menurut Imam Al-Ghazali, seseorang pendidik mestilah mengamalkan ilmunya dan tidak membohongi perbuatan melalui perkataan. Ini adalah kerana ilmu dapat diperhatikan dengan mata hati, sementara perbuatan dapat dilihat dengan mata, sedangkan orang yang mempunyai mata lebih ramai. Kenyataan Imam Al-Ghazali menunjukkan bahawa sikap, tingkah laku, amalan, akhlak dan peribadi pendidik adalah lebih penting daripada ilmu yang dimiliki pendidik.
Ibu bapa sangat ditegah berinteraksi dengan anak-anak mereka dengan kasar dan bengis walaupun anak tersebut melakukan kesalahan tertentu. Malah ibu bapa seharusnya menegur kesalahan anak mereka dengan cara yang lembut dan bijaksana. Pendekatan psikologi juga boleh digunakan dalam menegur kesalahan anak-anak. Pendekatan psikologi mendorong kepada pemikiran, pemerhatian dan pengambilan iktibar dalam proses dakwah kerana manusia mempunyai potensi untuk berubah kepada kebaikan dengan anugerah akalnya.
            Kanak-kanak perlulah sentiasa diberikan perhatian dan mengambil berat tentang perkara-perkara yang boleh mempengaruhi diri mereka. Kanak-kanak akan merasakan kasih sayang meresap dalam dirinya melalui sentuhan orang disekelilingnya terutama ibu bapa mereka. Ibu bapa yang mengambil berat tentang anak mereka akan memberi dimensi dalam diri kanak-kanak tersebut bahawa mereka mempunyai ibu bapa yang sangat prihatin tentang kebajikan mereka.  
Unsur penghargaan  dan juga penghormatan merupakan proses pendidikan yang penting bagi menaikkan semangat anak untuk mencapai prestasi yang baik dalam kehidupannya. Peneguhan merujuk kepada sesuatau tindakan yang dilakukan dengan tujuan untuk mengubah tingkah laku seseorang. Kebiasaanya peneguhan positif dibuat untuk memastikan perubahan yang positif berkembang dalam diri seseorang individu. Peneguhan positif akan mendatangkan kegembiraan dalam diri kanak-kanak sama ada dalam bentuk fizikal seperti memberi hadiah kepada anak tersebut ataupun dalam bentuk lisan seperti kata-kata pujian. Ia juga boleh mewujudkan kesan positif dalam diri kanak-kanak tersebut hasil daripada rasa gembira yang dialaminya.
Di dalam kebanyakan hal, ibu bapa dan guru sering mengabaikan perasaan kanak-kanak. Pada hakikatnya kanak-kanak amatlah mudah tersentuh hatinya dan sangat sensitif. Perkara ini akan menyebabkan anak-anak takut untuk menyatakan perasaan dan keinginan mereka. Ajaran Rasulullah s.a.w., perwalian baginda dan tanggungan baginda adalah merupakan kaedah-kaedah pemeliharaan yang baik, taman-taman menyuburkan kasih sayang dan cinta serta sumber segala petunjuk dan hidayah daripada Allah s.w.t.

  Interaksi Rasulullah Dengan Kanak-Kanak.

            Jujungan kita, Nabi Muhammad s.a.w. adalah rahmat bagi seluruh alam. Baginda menunjukkan sifat belas ihsan dan kasih sayang bukan sahaja kepada orang tua, malahan juga kepada anak-anak kecil. Mungkin kita telah mendengar kisah bagaimana Rasulullah s.a.w. menunjukkan sifat belas ihsan baginda kepada orang-orang tua. Kali ini, kita mendengar pula tentang keperibadian dan akhlak Rasulullah s.a.w.  terhadap anak-anak kecil.
            Hampir tiada yang menyayangi kanak-kanak seperti Rasulullah s.a.w. Diberitakan bahawa kanak-kanak senang dan suka memanjat belakang Rasulullah s.a.w. dan bermain-main di atas baginda. Baginda sentiasa memeluk dan mencium kanak-kanak yang datang kepada baginda dengan penuh kasih sayang. Rasulullah s.a.w. akan mencium kanak-kanak tersebut seperti beliau mencium bunga dan berkata: “Engkau adalah bunga yang cantik dari taman-taman Allah s.w.t.”
            Mungkin kita sudah mendengar bagaimana Rasulullah s.a.w. amat cintakan ibadah. Kadang-kadang beliau akan menghabiskan keseluruhan malamnya untuk beribadah. Isteri beliau, Saidatina Aishah r.a pernah berkata bahawa apabila telah sampai waktu solat, Rasulullah s.a.w seorang-olah tidak kenal orang disekeliling beliau. Beliau hanya mengingati Allah s.w.t sahaja. Akan tetapi, walaupun dalam keadaan demikian, beliau tetap tidak melupakan anak-anak kecil.
Beliau amat menyayangi cucu beliau, Umamah anak perempuan Zainab binti Rasulullah s.a.w. dengan suaminya al-As bin Rabi’ah bin Abd Syams. Apabila sampai waktu solat dan Umamah berada di ribaan atau dukungan baginda, baginda akan meletakkan Umamah di atas bahu. Kemudian apabila baginda ingin ruku’, baginda akan meletakkan Umamah ke bawah dengan perlahan-lahan. Kemudian selepas baginda selesai dari sujud, baginda akan mengangkat Umamah dan meletakkannya di atas bahu baginda kembali.
Rasulullah s.a.w amat menyayangi cucu-cucu baginda. Baginda biasa memanjangkan sujud baginda hanya kerana mereka. Pada suatu hari, cucu baginda Saidina Hussain berada di masjid. Ketika baginda sedang sujud, Saidina Hussain memanjat belakang baginda. Baginda sengaja memanjangkan sujud sehingga para sahabat menyangka bahawa ia adalah satu perintah baru dari Allah s.w.t untuk memanjangkan sujud. Selepas Rasulullah s.a.w selesai dari mengerjakan solat, mereka bertanyakan baginda tentang sujud yang begitu lama itu. Rasulullah s.a.w menjawab: “Cucuku telah memanjat belakang daku. Maka daku mahu dia memuaskan hatinya. Daku hanya bangun dari sujud hanya apabila dia telah puaskan hatinya.”
Ada ketikanya baginda akan bermain dengan anak-anak kecil. Apabila kanak-kanak itu bersama baginda, baginda akan meminta kanak-kanak tersebut berdiri sebaris menghadap baginda. Selepas itu baginda akan duduk di satu tempat yang agak jauh sikit dari kanak-kanak tersebut dan menghulurkan tangannya kepada mereka. Kemudian baginda akan menyuruh kanak-kanak tersebut lari ke dakapannya. Siapa yang sampai dahulu akan mendapat hadiah. Maka kanak-kanak tersebut akan lari sekuat-kuatnya kepada dakapan baginda sehingga ada yang melanggar dada dan perut baginda. Selepas itu, baginda akan memeluk mereka semua dengan penuh kasih sayang.
Rasulullah s.a.w selalu menunjukkan rasa sayang dan cinta beliau kepada anak-anak kecil dan baginda mengajar umatnya agar melakukan perkara yang sama. Pada zaman tersebut, orang-orang Arab Badwi terkenal dengan sifat kasar dan keras mereka. Mereka percaya bahawa hanya orang yang kasar dan keras sahaja dihormati oleh kaum puak mereka. Maka mereka tidak akan menunjukkan rasa sayang mereka kepada anak-anak mereka. Apatah lagi kanak-kanak lain. Rasulullah s.a.w. mendidik dan mengajar orang-orang Arab Badwi ini agar menunjukkan rasa sayang dan cinta kepada anak-anak kecil.
Ada seorang yang bernama Al-Aqra’ bin Habis. Beliau merupakan ketua sebuah kaum. Pada satu hari beliau mendatangi Rasulullah s.a.w dan melihat baginda mencium cucu baginda iaitu Saidina Hassan. Maka Iqra’ pun berkata: “Aku mempunyai 10 anak tetapi aku tidak pernah mencium mereka.” Maka Rasulullah s.a.w pun bersabda: “Sesiapa yang tidak menunjukkan kasih sayang, tidak akan mendapat kasih sayang dari Allah s.w.t.”
Rasulullah s.a.w selalu memberikan salam terlebih dahulu kepada kanak-kanak. Ini mendidik mereka dan menanamkan dalam diri mereka agar bersegera memberi salam dahulu. Anas bin Malik r.a meriwayatkan bahawa, pernah satu ketika Rasulullah s.a.w mengutus beliau untuk melakukan satu tugas. Dalam perjalanan, beliau berjumpa dengan beberapa budak lelaki. Maka beliau duduk bersama dengan budak-budak tersebut. Apabila baginda s.a.w. mendekati budak-budak tersebut, baginda dengan segera memberikan salam kepada mereka. Peristiwa ini memberikan kesan yang mendalam dalam jiwa Anas bin Malik r.a. Sehingga akhir hayatnya, beliau selalu bersegera memberikan salam terlebih dahulu.
Abu Hurairah r.a. pernah meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda bahawa: “Cara memberi salam adalah yang menaiki kenderaan memberi salam kepada pejalan kaki, yang pejalan kaki memberi salam kepada yang duduk, yang sedikit memberi salam kepada yang lebih ramai, yang muda memberi salam kepada yang tua”. Nabi Muhammad s.a.w memulakan memberi salam kepada kanak-kanak kecil kerana sifat baginda yang lemah lembut dan tawadhu.
Perwatakan Nabi Muhammad s.a.w jelas menunjukkan sikap baginda terhadap generasi muda iaitu perasaan kasih sayang dan sikap mengambil berat terhadap mereka. Walaupun setelah baginda dipilih menjadi rasul dan pemimpin semenanjung Tanah Arab, malah pemimpin seluruh kejadian Tuhan, baginda masih bermain-main dengan cucunya, Hassan dan Hussin, sambil baginda merangkak di tanah. Baginda sentiasa menghormati puteri baginda, Saidatina Fatimah r.a. hinggakan baginda akan bangun apabila Fatimah datang dan akan terlebih dahulu mengucapkan salam kepada puterinya itu.
Menurut Aishah r.a dalam sebuah hadis yang diriwayatkan olehnya yang bermaksud :
“Tidak pernah ku lihat seseorang yang lebih serupa dari segi perangai, tingkah laku, dan tindakan seperti Nabi Muhammad s.a.w dengan Fatimah. Apabila dia datang kepada baginda, baginda akan bangun menghormatinya, menyambut tangan, mencium lalu mendudukkan Fatimah di tempat duduk baginda sendiri. Dan apabila baginda pergi kepada Fatimah, wanita itu akan lantas bangun dan menghormati baginda, lalu baginda memegang tangan Fatimah, mencium dan mendudukkan beliau di sebelah tempat duduknya sendiri.” ( Al-hadith-mishkat al-masabih, oleh al-haj maulana fazlul karim jilid 1, dacca, pakistan timur, 1960: hlm. 163 )
            Baginda juga selalu memeluk cium anak cucunya dan menyuruh kaum muslimin melakukan sedemikian rupa. Baginda mengajar kaum muslimin bukan sahaja perlu menghormati keturunan mereka yang masih muda tetapi juga melayan mereka dengan penuh kasih sayang sama ada secara fizikal dan mental. Baginda menekankan bahawa anak-anak adalah kurniaan dari Allah s.w.t kepada ibubapa. Menjadi tugas dan tanggungjawab kedua ibubapa untuk mendidik serta membesarkan mereka  selaras dengan tuntutan agama.
Baginda begitu menghormati kanak-kanak sehingga menggelarkan kanak-kanak sebagai "mekar tuhan". Keluhuran laku Nabi dapat pula didengar dari Imam Ali bin Abi Thalib karramallahu wajhah, sepupu dan menantu Nabi, dan orang tidak pernah kafir seumur hidupnya. Ia pernah berkhutbah tentang hubungannya dengan Nabi :
“Ketika masih kanak-kanak, aku membanting dada para lelaki Arab, dan mengalahkan jaguh-jaguh dari suku Rabi’ah dan Mudhar. Sungguh kalian mengetahui kedudukanku di sisi Rasulullah s.a.w sebagai kerabat yang sangat dekat. Baginda meletakkanku di pangkuannya di kala aku masih kanak-kanak, baginda merangkulku ke dadanya, membaringkanku di tempat tidurnya, menyentuhkanku ke tubuhnya, sehingga aku mencium aroma badannnya. Seringkali baginda mengunyah sesuatu kemudian menyuapkannya untukku. Baginda tidak pernah berbohong dalam ucapannya terhadapku, dan tidak pernah pula salah dalam tindakannya.

  Kesimpulan.

Begitu indahnya cara Rasulullah mendekati dan berinteraksi dengan kanak-kanak. Demikian pula dengan semua ucapan dan perkataan baginda yang memancar dari huruf-hurufnya cahaya terang yang menyingkap segala tabir kegelapan dan memberikan petunjuk kepada jalan yang lurus. Apabila kita dapat membentuk akhlak anak-anak kita sesuai dengan panduan yang digariskan Rasulullah s.a.w., nescaya akan memberikan pengaruh yang sangat baik dan sekali gus mengurangkan gejala sosial yang terjadi di dalam masyarakat hari ini.
Tidak hairanlah apabila kanak-kanak pada zaman Rasulullah s.a.w. sangat menyayangi baginda sehingga mereka tidak segan untuk berinteraksi dengan baginda. Perkara ini ekoran daripada pendekatan psikologi yang digunakan Rasulullah s.a.w. berinteraksi dengan mereka yang sangat bagus.
Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. adalah manusia terbaik yang diciptakan oleh Allah s.w.t. di muka bumi ini. Sedalam mana pun kisah sejarah yang disingkap sudah tentu tidak ditemui kehebatan insan yang bernama Muhammad s.a.w. Sebagaimana firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-Baqarah ayat 151 yang bermaksud:
“Sebagaimana Kami telah mengutuskan kepadamu rasul diantara kamu yang membacakan ayat-ayat Kami kepada kamu dan menyucikan kamu dan mengajarkan kamu kitab dan hikmah (sunnah) serta mengajarkan kepada kamu apa yang belum kamu ketahui”